Sebuah Novel: MENYINGKAP ILUSI


<< December 2009 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04 05
06 07 08 09 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30 31

Menyingkap Ilusi
Penulis: Hatikasih
ISBN 983-41550-0-x
Halaman: 440
Harga: RM21.90
Diterbitkan oleh Krisalis Enterprise
Laman web: www.freewebs.com/krisalis

Penulis bersedia menghantar novel ini terus kepada pembeli yang berminat.

Harga buku adalah termasuk kos penghantaran melalui pos laju.
Sila e-mel ke: hatikasih75@yahoo.com untuk urusan pembelian.

Nota: Bab 1 yang dipaparkan di sini telah diedit.

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Friday, September 02, 2005
ABSTRAK

Razlan

Lantaran satu kebocoran maklumat Razlan digantung kerja – kemungkinan akan turut kehilangan mata pencariannya. Dalam kebuntuan untuk membuktikan kejujuran diri, dia bertemu Anne – akhirnya dia terperangkap di dalam sebuah kisah silam. Kisah silam yang telah selamanya terhapus dari ingatan.

 

Anne

Beralaskan kerjaya dan cita-cita, Anne lalui kehidupannya bertemankan sepi. Kemunculannya di Zanura Sdn Bhd dengan satu tugasan. Tugasan yang mengembalikan satu kehilangan, yang hanya mengundang duka, dan membongkar satu konspirasi jenayah korporat.

 

Menyingkap Ilusi

Berlatarbelakangkan alunan bukit-bukau di Ayer Keroh, tiupan bayu berserta kemerahan senja di pantai Tanjung Kling dan panasnya politik di tempat kerja, novel ini mempersoalkan batasan yang tipis di antara kepentingan peribadi dan integriti profesion, antara hati dan realiti.

 


Posted at 10:13 pm by hatikasih
Make a comment  

PROLOG

Dia ada segalanya. Segala yang aku mahu dan idam selama ini. Realitinya, dia melayari kehidupan ilusiku. Aku benci dia. Benci amat! Dalam mimpiku, harapanku, aku adalah dia. Ya, aku ingin menjadi dia, insan yang aku benci, dan miliki segala yang menjadi miliknya. Satu hari nanti, dia pasti tidak wujud lagi dan akulah yang akan menjalani kehidupannya. Lantas istanaku bukan lagi satu ilusi.



Posted at 10:15 pm by hatikasih
Make a comment  

BAB 1: SELASA, I JULAI 2004

Dia terus berlari. Rasanya sudah sekian waktu dia melarikan diri, tanpa arah. Tidak, dia tidak akan berhenti walau sesaat. Kesuraman berbayang di kiri dan kanannya – kelabu amat, tambah pula kabus nipis menyelimuti setiap langkahnya. Dia meneguk nafas yang makin pendek. Namun dia mesti meletakkan dirinya sejauh mungkin daripada lelaki bertopeng hitam itu. Jauh di sudut hatinya dia bagaikan terpanggil untuk berhenti sahaja.

            “Dialah yang kau harap selama ini. . .” Suara itu terus menggoda.

Tiba-tiba satu jurang gelap ternganga di hadapannya. Kilat memancar di langit yang gelap pekat. Sejenak kemudian guruh berdentum diikuti titis-titis hujan yang kian melebat. Sesaat dia teragak, menimbang langkah. Tidak, dia tidak akan membiarkan dirinya menjadi mangsa makhluk itu. Tidak sekali lagi. Dia lalu merapatkan kelopak mata lantas melompat dari tebing, menjunam ke dasar. Terasa angin sejuk menampar wajahnya, sejurus sebelum tubuhnya dipaut sesuatu. Sekelip mata dia ditarik semula ke atas tebing lantas berhadapan dengan misteri itu.

Pandangannya melewati sepasang kaki yang tegap terpasak di bumi, sesusuk tubuh yang berbalut pakaian serba hitam. Pandangannya bagai dipaksa untuk menatap wajah si pemilik tubuh. Bibir yang terbentuk tampak kaku, sejuk dan membatu. Selembar topeng hitam melindungi sepasang mata. Pandangan dari sepasang mata itu terasa menikam. Seketika dia bertatapan, menanti suatu kemungkinan yang tidak pasti. Tanpa dijangka, bibir yang tadinya kaku melorek senyum, mencair kebekuan.

“Tidak…..!!! Jangan……!!!” Dia terhumban semula dasar gaung yg kian dalam dan hitam…..

            “Astaghfirullah….” Anne tersentak dari tidurnya. Di luar, hujan turun dengan lebatnya. Dari masjid yang berdekatan kedengaran azan subuh berkumandang, sayup-sayup, hampir ditenggelami deraian hujan yang menyimbah bumi. Dia termenung sebentar di birai katil yang bercadar biru. Sudah tiga kali mimpi yang sama mengganggu lenanya. Cuma kali ini, di dalam mimpinya dia benar-benar berhadapan dengan lelaki bertopeng itu.

Siapa dia? Kenapa senyuman berbisa itu? Terlintas di benaknya satu nama yang tidak pernah hilang. Tapi mustahil kerana senyuman itu tidak mungkin. Anne jarang ambil kisah soal mimpi tapi apabila mimpi yang sama terus berulang, sedikit-sebanyak ia tetap mempengaruhi diri. Suasana bilik suram, hanya disimbah cahaya kekuningan dari lampu tidur. Dia mencapai tuala lalu menuju ke bilik air.


********


Zanura Sendirian Berhad

Lebuh Ayer Keroh, Melaka

 

            Anne melangkah dari keretanya menuju ke bangunan lima tingkat berwarna kuning-putih. Selain bangunan itu terdapat sebuah lagi bangunan, jauh di sebelah kirinya dan betul-betul berhadapan dengan pintu masuk utama, di mana operasi pengeluaran di jalankan. Di antara kedua-dua buah bangunan tersebut, terletak sebuah kafetaria. Ketiga-tiga binaan tersebut dihubungi jalan berturap bata yang dibumbungi rimbunan pokok bunga kertas. Tika itu matahari masih rendah di ufuk timur dan titisan embun masih basah di hujung-hujung rumput.

            Anne menapak ke arah pintu masuk utama. Di aras bawah, Anne ditunjukkan Pejabat Sumber Manusia oleh pengawal keselamatan yang bertugas. Pejabat tersebut letaknya hanya di sebelah kiri pintu masuk utama. Dindingnya berkaca gelap.

Setelah memberitahu tujuan kedatangannya, Anne diminta menunggu kerana pegawai sumber manusia sedang bermesyuarat. Menunggu bagai menjadi satu tradisi di mana-mana, dari pejabat hinggalah ke rumah. Ruang menunggu tidak luas dan dari situ dia dapat lihat aktiviti kakitangan pejabat tersebut. Anne juga nampak para pekerja yang keluar masuk di bangunan tersebut.

You takde bukti yang I yang bocorkan maklumat Sekurisyst tu! Sesiapa pun boleh curi kalau dia mahu!” Suara seorang lelaki keras memecah suasana. Anne memanjangkan lehernya ke arah punca suara tapi dia tidak dapat melihat sesiapa, terlindung di sebalik sebuah dinding yang mungkin memisahkan ruang kerja dengan bilik mesyuarat atau pejabat pihat atasan. Para pekerja yang tadinya leka dengan rentak sendiri turut memandang ke arah pandangan Anne.

            Aktiviti pejabat itu tiba-tiba diganggu bunyi dentuman pintu.

            I tak boleh buat apa-apa. Ini atas arahan Presiden sendiri. Kes ini memang  serius dan penyiasatan akan dilakukan.” Satu suara lain menjawab, kedengaran perlahan dan lambat-lambat. Sayup-sayup mencecah cuping telinga Anne. “Lagipun, you bukan digantung . . . cuma dihadkan tanggungjawab.”

            “Siapa yang akan siasat?”

            “Itu . . . masih dalam perbincangan.”

            “Kalau masih nak berbincang tu, sampai bertahunlah takkan selesai kes ni! Kalau serius sangat kenapa tak selesaikan sekarang juga?”

“Syarikat sedang bersiap untuk audit operasi buat masa ni.” Anne seolah-olah dapat bayangkan penutur bicara itu sedang meneguk liurnya. “Tuan Omar sendiri akan turut serta dalam kes ini sebaik sahaja selesai audit operasi.”

“Yalah, sekaranglah nak lindung apa yang tak patut, betul tak?” Kenyataan terakhir lelaki itu semakin menarik perhatian Anne. Anne ternampak kelibat seorang lelaki yang berjaket biru gelap melangkah ke ruang utama pejabat lalu bergegas keluar. Lelaki itu lalu melintas di hadapan Anne. Mungkin reaksi spontan Anne yang kini sedang menahan nafas dan terkaku di sofa telah menarik perhatian lelaki itu. Dipandangnya Anne sejenak.

Kulit lelaki itu tidak cerah, tidak pula terlalu gelap. Rambutnya lurus, berjuntaian di dahi. Alisnya tebal, lantang membumbungi sepasang matanya. Perawakannya tidak teragak. Tiada perubahan emosi di wajahnya dan langkahnya pantas diteruskan. Namun tidak pada Anne. Anne bagai tidak mampu menarik nafasnya semula. Pecah segala keceriaan yang menyelubunginya sejak pagi tadi.

Lelaki itu pasti dia. Tidak ada orang lain yang berambut selurus lelaki tadi. Tidak ada lelaki lain yang mempunyai sepasang mata yang begitu memukau.

Tidak syak lagi – topeng lelaki di dalam mimpinya tersingkap sudah, mimpi yang mengheretnya kembali ke suatu malam gelap enam tahun yang lampau…

Malam itu terlalu gelap, tambah pekat lantaran langit menabur jutaan butiran hujan. Anne memandu dengan penuh berhati-hati, perlahan membuntuti sebuah kereta kelabu di hadapannya. Sejak sepuluh minit yang lalu dia memandu dalam keadaan demikian dan masih belum bertemu jalan keluar dari kawasan tersebut. Dia agak panik. Inilah kali pertama dia mengambil jalan tersebut untuk pulang ke rumah. Kiri-kanan jalan begitu gelap, kalaulah diketahui lorong itu tidak berlampu . . .

Anne terus setia membuntuti kereta tersebut. Hujan semakin galak mencurah, mengaburi pandangan. Kereta di hadapannya makin perlahan, terlalu perlahan pada Anne. Mungkin pemandunya turut mengalami masalah pemanduan. Sekonyong-konyong kereta tersebut berhenti tanpa sebarang amaran. Anne tidak sempat menekan brek lalu menyondol kereta tersebut.

Tubuhnya sedikit terhentak ke hadapan. Tersirap darah Anne, ada rasa takut namun takutnya teraduk dengan marah. Nasib baik keretanya bukan kereta baru!

“Kalau nak berhenti pun, kasilah isyarat. Main brek je… Sudahlah hujan pulak tu.” Anne mengomel sendiri, masih berkira-kira sama ada hendak melangkah keluar dari kereta ataupun tidak.

Terlintas pula di hatinya, mungkin ada apa-apa halangan di hadapan seperti tanah runtuh ataupun banjir. Dikerling cermin pandang belakang, gelap amat. Tiada kenderaan lain di belakang. “Takkan nak keluar dalam hujan-hujan macam ni, pakai payung pun belum tentu tak basah. Kereta depan ni… memanglah nak kena dengan aku.”

Dalam samar-samar dia nampak pemandu kereta kelabu itu mematikan enjin keretanya dan kini sedang melangkah keluar, sepucuk payung dikembangkan.

Ah, sudah! Perangkap ke apa ni? Apa aku nak buat ni? Hati Anne berdetik cemas. Terasa dadanya berdebar kencang dan darah panas menyimbah wajah. Sekali lagi dia memandang cermin pandang belakang, berkira-kira untuk berundur dan memecut dari situ. Tapi takut pula dikatakan kes langgar lari.

Di kala kekalutan mengamuk fikiran, pemandu lelaki yang disondol melangkah ke arahnya. Anne tidak berani berbuat apa-apa, dia berada di sebatang jalan yang entah di mana, di kala malam semakin matang. Kalaulah apa-apa berlaku, di mana hendak dipohon pertolongan?

Lelaki itu tercegat sambil bercekak pinggang di sebelah kereta Anne. Gerak-gerinya bagai menahan marah. Anne dapat merasakan degup jantungnya sendiri, laju menekan dada. Dia mengambil telefon bimbit dari atas dashboard. Mati pula bateri telefonnya. Kenapalah telefon ni tak ada bateri masa macam ni?

Lelaki tadi masih tercegat di sisi kereta Anne. Wajahnya itu langsung tidak kelihatan, berselubung bayang-bayang. Apabila Anne hanya membatukan diri, dia mengetuk cermin tingkap kereta Anne seraya menunjukkan isyarat damai dengan dua jarinya.

Anne capai penyembur lada dari dalam beg tangan lalu menurunkan tingkapnya sedikit, cukup untuk membolehkan dia mendengar apa yang diperkatakan oleh lelaki itu.

Beberapa titis hujan membolos ke ruang dalam kereta.Sejuk apabila terkena kulit.

Anne yakin lelaki itu sedang marah, orang yang marah mudah hilang pertimbangan. Mungkin juga lelaki itu mempunyai niat jahat, sengaja memberhentikan kereta secara tiba-tiba lalu cuba merompak mangsanya. Anne menggigit bibir. Lelaki itu membongkok sehingga bibirnya searas dengan belahan tingkap kereta Anne.

“Awak tak pernah ikut jalan sini ke?” Kedengaran keras di telinga Anne. Pegangannya pada penyembur lada makin kejap.

“Tak.” Anne terkebil-kebil. Kini dia dapat melihat samar-samar raut wajah lelaki itu. Matanya tidak kelihatan kerana terlindung dek hitamnya bayang. Urat-urat rambutnya yang panjang dan lurus, basah melekati pipinya. Manik-manik hujan berlari turun dari hujung rambutnya, terus meresap ke bajunya, meninggalak tompokan gelap di fabrik berwarna biru itu.

Angin terus galak menghambat deraian hujan ke serata arah. Beberapa titis menjamah pipi Anne. Diamati wajah lelaki tadi, manalah tahu, kalau apa-apa berlaku… kalau-kalau dia perlu mengenalpasti tertuduh di dalam sesi kawad cam. Mungkin juga, jika lelaki itu ada niat tidak baik, dia akan beredar sekiranya dia tahu Anne akan dapat mengenali wajahnya.

Anne mengecilkan matanya, cuba menjejak raut wajah lelaki itu dengan pandangannya.

Bibir lelaki itu yang agak penuh kian menipis, bagai cuba menahan marah. Bibir itu kian melebar, lalu merekah dan mempamerkan sebaris gigi yang tidak bercela. Senyum itu kian melebar, akhirnya terletus tawa yang tidak disekat.

Anne terpinga.

Gila ke dia ni? Terasa darah tersejat dari wajahnya. Ini lagi teruk. Orang gila tak boleh disabitkan kesalahan. Aduh!

“Saya rasa awak patut berhenti dulu sementara tunggu hujan berhenti. Bahaya kalau jalan tak biasa.” Anne keliru, lelaki itu bukan sahaja tidak marah malah ketawa pula.

Apa yang kelakarnya? Dia ni betul ke tidak ni? Getus Anne di dalam hati. Entah-entah lelaki itu ada masalah mental. Dahinya berkerut, hatinya semakin curiga. “Kenapa . . . Err. . . kereta awak?”

“Saya rasa awak patut keluar dan tengok sendiri.” Dia mengesat matanya. Tawanya kian reda.

Anne termangu. Takkan dia nak keluar menempah bahaya?

Si lelaki melepaskan satu keluhan sebelum dia meninggalkan Anne. Dia tidak pula kembali ke keretanya tetapi hilang di dalam kegelapan.

Ke mana dia pergi? Anne memandang sekeliling. Dia tidak dapat pastikan di mana atau bagaimana keadaan sekelilingnya. Kelibat kenderaan lain juga tidak kelihatan langsung. Hujan terus mencurah, bingit. Anne memeluk tubuh, terasa sejuk mencengkam. Saat itu juga air matanya turut mengancam sisa-sisa ketenangannya. Kawalan dirinya semakin tipis. Tak… dia tidak takut.

Suasana yang gelap tiba-tiba disimbah cahaya, menambah kekeliruan Anne. Kini Anne nampak sebidang pagar konkrit, berhias lampu-lampu bulat, kira-kira dua meter dari keretanya. Dia memandang ke hadapan, sebuah rumah tersergam, kini bermandikan cahaya. Anne menarik nafas seraya menekup wajah dengan kedua-dua telapak tangannya. Rupa-rupanya dia telah mengekori kereta kelabu itu hingga ke halaman rumah pemandunya!

Patutlah dia berhenti tiba-tiba…

Terlupa pada waspada, Anne membuka pintu kereta lalu melangkah keluar – ke dalam kelebatan hujan. Tidak terasa panahan butir-butir hujan di kulit.

Sedar-sedar lelaki tadi telah berada di sebelahnya, setia dengan sepucuk payung. Anne serba-salah – sudahlah dia terlanggar kereta orang, terlanggar di halaman rumahnya pula tu! Alahai…

“Minta maaf banyak-banyak! Saya .. . saya… tak pernah lalu kat sini.” Anne tak sanggup memandang wajah “mangsa”nya. Namun kegelisahan Anne cuma bersambut deraian tawa.

It’s okay, inilah kali pertama saya kena ikut dan kena langgar di laman rumah sendiri! Betul-betul saya ingatkan road bully yang hentam saya tadi. Selalunya lampu pagar tu dipasang, taklah gelap sangat. Malam ni pula litar terputus sebab kilat.” Dia terus tertawa, menampakkan barisan giginya yang putih tersusun. “Oh, saya Razlan. Mak mesti ketawa besar kalau dia ada di rumah sekarang ni!”

“Kereta awak tak apa-apa nampaknya.” Anne meneliti belakang kereta kelabu yang tadinya dipandu Razlan. “Baik saya balik dulu.”

“Kereta saya memang takde apa-apa. Tapi saya rasa awak tu yang ada apa-apa.” Anne memeluk tubuh sambil memandang Razlan dengan curiga. Kesejukan malam yang basah itu makin terasa menggigit kulit. Terasa lelaki itu berdiri terlalu hampir dengannya. Anne mengundur sedikit, meletakkan jarak di antara dia dan Razlan. Titis hujan menjamah belakangnya. Lelaki itu pula menurut langkah Anne, setia melindungi Anne daripada basahnya hujan.

Melihatkan reaksi Anne yang tidak bersuara, Razlan menyambung, “Beginilah, apa kata saya hantar awak balik. Saya tak rasa awak patut memandu dalam keadaan terkejut macam ni . . .”

Kilat terpancar dan buat pertama kalinya Anne dapat menatap sepasang mata yang jernih namun bercahaya . . .

“Cik Annisa?” Anne tersentak. Seorang lelaki berkumis dan berjanggut tipis sedang berdiri dan memandang ke bawah, ke arah Anne. Bicaranya perlahan dan sebutannya lambat-lambat. “Saya Taufiq Hidayat, pegawai sumber manusia. Maaf kerana terpaksa menunggu.”

“Ini surat pertukaran saya.” Anne bangun lantas mengunjukkan sekeping surat rasmi.

Anne dibawa ke sebuah pejabat berhamparkan permaidani hijau lumut. Setelah menandatangai beberapa dokumen, Anne diminta melapor diri di Jabatan Kewangan.

Taufiq mengarahkan Fauzi, yang tadinya telah menumpahkan kopi untuk membawa Anne ke jabatan di mana Anne perlu bertugas.

*  *  *  *  *

 

“Saya nak pergi makan ni, kalau ada apa-apa, tanyalah nanti.” Nurin mencapai beg tangannya. Lincah perlakuannya. Marlia turut bangun sambil membimbit beg tangan, katanya dia perlu menjemput anaknya dari sekolah.

            Jam di dinding menunjukkan pukul satu limat minit tengah hari. Patutlah perutnya sudah mula memberi amaran. Nampaknya terpaksalah dia makan seorang diri. Anne turun ke aras bawah lalu berjalan melalui jalan berturap bata dan berbumbungkan rimbunan pokok bunga kertas. Taburan bunga kertas berselerakan di atas jalan tersebut.

Dia melangkah ke kafetaria yang agak lengang, kebanyakan pekerja mungkin lebih suka makan di luar berbanding di situ. Setelah mendapatkan makanannya secara layan diri, Anne duduk, bersedia untuk menikmati hidangannya.

            “Assalamualaikum. Boleh saya duduk?” Satu suara menyapa Anne.

“Wa’alaikumsalam.” Anne mendongak.

Abang Razlan! Hampir terpacul nama itu dari bibirnya.

Tanpa menunggu jawapan Anne, dia terus  meletakkan pinggan berisi makanannya lalu duduk. Dia tersenyum memandang Anne. Senyumnya masih berbayang nakal. Telah hilang garis-garis amarah yang mencoreng wajahnya pagi tadi.

Dalam usianya yang kini menjangkau tiga puluh tiga tahun, raut wajah itu tidak banyak berubah, masih seperti yang terpahat di cermin hati Anne sejak empat tahun yang lalu. Hanya tubuhnya sedikit berisi, tidak lagi kurus kering seperti dulu.

            “Pagi tadi nampak awak di Sumber Manusia. Masa tu saya tengah bengang betul. Eh, lupa pula, saya Razlan.” Pandangan Razlan tepat meraut wajah Anne.

Anne memandang wajah kacak itu sekilas sebelum segera tunduk menatap hidangan di hadapannya. Mungkin puas memandang wajah Anne, Razlan melihat sekeliling. “Saya ganggu awak ke? Atau awak sedang tunggu seseorang.”

            “Eh, taklah. Ini hari pertama saya di sini.” Perasaan Anne benar-benar tidak keruan. Dia tidak pasti sama ada hendak tersenyum hingga ke telinga atau hendak berlari sejauh-jauhnya dari insan yang bernama Razlan Hamdi itu. Seungkap kata sayang, sebaris janji suci yang diiringi oleh setangkai mawar merah takkan hilang dari ingatannya. Kata yang masih dikenang walau janji tak mungkin bererti lagi. Secarik kasih yang tidak mampu ditagih.

            Café ni selalunya lengang macam inilah. Ramai yang lebih suka makan di luar,” ungkapan Razlan mengesahkan pendapat Anne tadi.

            “Tapi awak suka makan di sini.” Anne menyerkap jarang.

            “Tak ada pilihan sebenarnya. Lagipun, kalau makan di sini dapat juga berkenalan dengan kakitangan lain. Kalau kat luar tu, takdelah. Saya selalu sibuk sangat di pejabat tu, jarang ada masa nak join aktiviti syarikat.” Razlan menerangkan panjang lebar.

            Anne sekadar mengangguk.

            “Annisa…” Anne tersentak., hampir tersedak. Dia memandang Razlan, mana mungkin saat itu Razlan bisa memanggilnya dengan nama itu. Sepasang matanya tetap jernih sepertimana kali pertama ditatapnya. Sesaat dirasakan jantungnya berhenti berdegup. Rindu lama kembali menyelinap.

Razlan rupanya telah membaca nama tersebut di kad pekerja yang tersemat di baju Anne. Razlan bagai mengetahui kekalutan Anne kerana pada saat itu dia tersenyum mengusik. “Kan kita dah kenal, bolehlah makan sama-sama ya?”

Ah, Razlan tidak berubah. Suka mengusik dan kaya dengan bicara, desah Anne di dalam hati.

“Semua orang yang kenal saya panggil saya dengan nama Anne. Kalau kurang kenal, barulah guna nama Annisa.”

“Jadi saya kena guna nama Anne atau Annisa?”

“Anne – sebab . . . kita kan kawan.”

Razlan tertawa kecil. Buat seketika masing-masing diam, melayan perasaan sendiri. Anne sanggup melakukan apa sahaja sekiranya dia dapat mengetahui apa yang bermain di fikiran Razlan. Peristiwa pagi tadi menyelinap ke benaknya. Razlan telah digantung kerja atas suatu sebab tertentu. Lelaki itu, sepertimana yang dikenalinya, begitu jujur hatinya. Tapi mungkin . . . setiap manusia pastinya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Apa kesilapan Razlan?

“Err… kenapa dengan pagi tadi?” Anne tidak pasti sama ada soalannya akan berjawab. Jika Razlan masih seperti dulu, dia pasti tidak akan berselindung. Terlalu jujur, terlalu mempercayai, hingga pada satu masa, hampir meragut rantaian kasih mereka.

Razlan menghela nafas yang kedengaran sarat.

“Kebocoran maklumat rahsia syarikat.”

“Maklumat rahsia apa? Macam mana?”

“Saya tak tahulah sama ada saya boleh ceritakan hal ini atau tidak. Tapi rasanya hal ini dah tak menjadi rahsia lagi.”

“Saya janji, saya takkan cakap dengan orang lain!” Tangan kanannya diangkat separas bahu.

Razlan renung wajah serius Anne. Agak lama sepasang mata jernih itu menjilat setiap lekuk dan alun di muka Anne. Anne menelan liur. Dia terpaksa menahan pandangannya supaya kejujurannya tidak diragui.

“Maklumat rekacipta dan pengeluaran produk baru, sistem baru. Produk tu pula belum dipatenkan. Tengok-tengok dah ada syarikat lain yang produce. Sebiji serupa, kalau setakat produk tu, mungkin kebetulan. Ini keseluruhan sistem! Habis hasil usaha selama setahun.” Razlan membuang pandangan ke arah bangunan kilang. Kelihatan sekumpulan operator pengeluaran berjalan ke kantin, tertawa riang.

“Awak syak ada pencuri ke?” Anne mengunyah makanannya lambat-lambat, mengambil kesempatan itu untuk menatap wajah Razlan selama mungkin. Razlan mengembalikan pandangannya ke wajah Anne, membuatkan Anne terpaksa melarikan matanya ke pinggan. Rupanya dia masih tidak cukup kuat untuk menyambut pandangan itu tanpa berselindung.

 “Belum terfikir bagaimana maklumat tu boleh dibawa keluar dari makmal. Gunalah sekuriti secanggih mana pun, kalau nak dicuri, pasti ada jalannya. Sesiapa yang ada kapasiti pasti boleh dapat apa yang dia nak. Yang saya geram tu, saya pula yang kena gantung kerja. Memanglah saya the only person yang kawal maklumat keluar masuk tapi . . .”

“Syarikat tak buat laporan polis ke?” tanya Anne apabila Razlan tidak menyambung bicaranya. Kumpulan pekerja tadi kini telah berada di kafetaria. Masih tersenyum riang, cuit-mencuit antara satu sama lain apabila mereka ternampak Razlan. Seorang-dua menyapa nakal, dibalas ramah oleh Razlan. Mereka tertawa lagi.

Sekali lagi Anne mencuri peluang itu untuk menatap raut wajah Razlan.

“Takdenya. Kalau pengeluar sistem sekuriti sendiri kena ceroboh, takkan nak heboh!” Kata-kata Razlan terusik tawa yang, walaupun sedikit, telah mengembalikan cahaya di matanya. Anne turut tersenyum.

“Ironi kan?”

“Zaman sekarang ni, maklumat adalah aset yang tak ternilai, maklumat adalah kuasa.”

 

*  *  *  *  *

*  *  *  *  *

 

            Hari pertama di Zanura akhirnya sampai jua ke penghujung. Selepas waktu makan tengah hari tadi Anne dapat rasakan kedinginan Nurin. Rasanya Marlia pun dapat menghidu perubahan pada Nurin. Senyumannya berganti jelingan tajam. Ramahnya berganti cebikan. Lincahnya tampak kasar. Nurin pulang tanpa sepatah kata.

Yang menjadi tandatanya sejak dari tadi adalah sikap dingin Nurin pada Anne seorang. Tidak pada Marlia, tidak pada sesiapa sahaja yang menelefon – tidak kira atas urusan pejabat atau peribadi. Anne agak kecewa pada perubahan suasana. Di mana silapnya?

            Zain telah meninggalkan pejabat kira-kira sejam yang lalu. Diikuti Marlia dan Nurin tepat jam lima petang. Masing-masing berkejarkan telenovela latin yang sedang hangat disiarkan di kaca televisyen.

Dipandang meja Nurin, ada sepasu kecil tumbuhan yang tampak lesu di atasnya. Mungkin sering tidak dipedulikan. Anne mencapai botol air minumannya, disiram tumbuhan itu.

            Kesian kau pokok, terbiar tanpa kasih sayang, bisik hati Anne. Entah kenapa hati Anne mudah benar terusik apabila melihat ketidakendahan manusia.

            “Peliknya pokok ni,” Anne mengomel. Didapatinya daun pada tumbuhan tersebut bertompok-tompok kuning, sedikit melekit apabila terkena air. Beberapa helai daun tersebut telahpun melekat di meja Nurin, kering kehitaman walaupun tompok-tompok kuningnya masih jelas kelihatan.

Keadaan sunyi-sepi. Hanya tinggal Anne yang masih menyelak fail demi fail, semakin laju, semakin leka. Jam 6.30 petang, masih awal jika hendak dibandingkan dengan masa dia bekerja di firma audit dahulu. Setelah mengemaskan mejanya, Anne keluar lalu menuju ke kereta. Terdapat beberapa buah kereta lain di tempat letak kereta. Matahari kelihatan rendah di langit petang.      

“Ini…Anne kan?” Anne segera berpaling, agak kaget. Tak mungkin ada sesiapa yang mengenalinya di sini. Diperhati lelaki yang menegur – tinggi dan segak. Pandangan dari sepasang iris hitam itu terasa menikam.

            “Ya?” Masih belum dapat dipastikan di mana lelaki itu dikenalinya.

            I Hilmy. Kawan serumah Razlan dulu. Masa di Ampang. Ingat lagi tak?”

            Kawan serumah Razlan? Masa di Ampang? Anne kembali teringat pada pemuda yang selalu mengusik Razlan setiap kali Razlan dan Anne berbual di telefon. Pemuda yang adakalanya terlalu mesra dan adakalanya terlalu serius. Adakalanya tampak cemburu.

Ya, dia masih ingat ketika pertamakali Razlan perkenalkan Hilmy. Lelaki itu menarik muka empatbelas, mencuka sepanjang pertemuan pertama itu. Sedangkan, menurut Razlan, Hilmy  pada mulanya tidak sabar untuk diperkenalkan dengan Anne. Nasib baik reaksi Hilmy berubah ketika pertemuan kedua dan seterusnya. Sukar difahami – komen yang sering diberi oleh Razlan.

Razlan dan Hilmy berkongsi apartmen selama lebih kurang 3 tahun, sebelum Hilmy bertukar tempat kerja. Pada Anne, Hilmy teman baik Razlan, sering juga keluar bersama, terutama untuk menonton wayang. Dan selain Razlan, Hilmy sering sendirian, munculnya jarang berteman. Lebih empat tahun yang lampau. Begitu lama... dan Hilmy masih dapat mengenalinya.

Janganlah ditanya soal dia dan Razlan, doa Anne di dalam hati.

What a surprise! Dah lama betul tu. Masih boleh ingat I?

“Mana boleh lupa!” Tutur dan ekspresi wajah Hilmy bagaikan gadis yang tertegak di hadapannya itu adalah seseorang yang istimewa, terlalu istimewa. “Anne buat apa di sini? External work ke?”

Anne tidak keruan, tidak sama sekali disangka bahawa ada sesiapa akan mengenalinya di situ. Tidak, tak sepatutnya dia dikenali.

I kerja sini sekarang, di Jabatan Kewangan.” Harapnya jawapan itu mencukupi. Hilmy mengerut


Posted at 10:26 pm by hatikasih
Make a comment  

FRAGMEN 2

Razlan masih bersengkang mata di hadapan komputer di sebuah bilik tertutup di rumahnya. Seluruh panca inderanya tertumpu pada baris-baris putih yang tertera di monitor. Suasana lengang menjelang pukul dua pagi hanya diiringi bisikan perlahan daripada siaran radio tempatan.

            Sebentar kemudian disemak pula paparan video dari kamera litar tertutup 1 dan 2 yang dipasang di pintu masuk Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan di Zanura. Imej-imej tersebut telah disalurkan dari komputernya di pejabat melalui Rangkaian Peribadi Maya atau Virtual Private Network (VPN).

VPN merupakan satu rangkaian peribadi yang menggunakan Internet untuk menghubungkan pengguna-pengguna secara remote. Bezanya dengan rangkaian biasa yang menghubungkan pengguna secara fizikal seperti talian yang disewa, VPN menggunakan hubungan secara “maya”.

            Razlan menggigit bibir.

Kalaulah orang atasan tahu bahawa selama ini dia telah menggunakan kemudahan VPN untuk menyalurkan fail-fail kajian ke rumahnya, pastinya dia akan berdepan dengan pelbagai persoalan berat. Biarpun tujuan Razlan cuma satu – sebagai satu sistem back-up dan recovery sekiranya berlaku kemusnahan terhadap data-data yang disimpan di pejabat.

            Dia menghela nafas panjang. Ditolaknya ingatan itu jauh-jauh ke dasar fikiran. Tumpuannya kembali ke paparan video di monitor. Seulas senyum berukir di bibir.

            Dia teruja sebenarnya. Teruja dengan pencapaian projek penyelidikan terbaru yang diterajui beliau. Projek pengenalan biometrik berasaskan teknologi pengimbas retina mata dan cap ibu jari dengan pengesanan haba. Projek tersebut kini berada di peringkat akhir pembangunannya dan telah mereka uji dan ulang-uji sehinggalah dia berpuas hati bahawa tidak terdapat kesilapan ataupun masalah di dalam perisian mahupun perkakasan yang digunakan.

            Siang tadi, prototaip peranti pengenalan biometrik tersebut telah dipasang di pintu masuk utama ke makmal dan juga di pintu pejabatnya sendiri. Tujuan pemasangan adalah untuk mengenal pasti masa yang diambil oleh pengguna untuk fahami sistem tersebut, masalah-masalah yang mungkin dihadapi dan yang lebih penting adalah untuk melihat reaksi pengguna terhadap kaedah pengenalan itu sendiri. Ini adalah kerana kebanyakan pengguna tidak selesa dengan kaedah pengimbasan retina pada mata.

Dan untuk tujuan tersebut juga dia telah menyambungkan sistem kamera litar tertutup 1 dan 2 ke komputernya, supaya dia dapat melihat sendiri reaksi pengguna secara first-hand.

            Razlan menggosok-gosok matanya dengan hujung jari, terasa letih dan berair. Dia baru sahaja selesai memuatkan templat cap jari dan corak retina matanya ke dalam sistem, satu-satunya set templat biometrik yang sempat dimuatkan. Mungkin esok dia dapat muatkan kesemua sampel biometrik yang diperlukan.

            Dia menarik nafas panjang. Nampaknya tatkala malam berganti pagi, tidak ada sesiapa yang keluar-masuk di Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan. Fail video disimpan ke dalam cakera kerasnya.


Posted at 10:36 pm by hatikasih
Make a comment  

FRAGMEN 3

Razlan menahan nafas. Kehadiran gadis itu, sedemikian dekat di sebelahnya, terasa begitu nyata. Setiap saat, setiap gerakan adalah terlalu nyata, setiap pancaindera Razlan menjadi begitu sensitif. Tidak pernah Razlan terasa sebegitu sedar akan kehadiran seseorang. Dadanya sedikit berombak manakala seluruh tubuhnya bagaikan membeku. Masa seolah-olah telah terhenti dan kewujudan dirinya bercantum dengan keadaan dan persekitaran.

Gadis itu lantas mencapai salah satu dari susunan disket di dalam sebuah kotak plastik.

“Kita pinjam disket ni sekejap.” Tanpa amaran, Anne berpaling. Pandangan mereka berlaga, sekeping disket berwarna kuning terkaku di dalam pegangan Anne. Sekolam pandangan Anne menenggelamkan Razlan di dalam sekawah rasa. Dia terawang entah ke mana. Saat itu, lenyap segala perabot, segala peralatan, malah segala yang material yang mengelilingi mereka. Yang tinggal hanyalah kewujudan – tanpa jasad, tanpa material.

Razlan terawang-awang di antara realiti dan mimpi. Di dimensi itu, jauh dari segala yang dikenalinya, dia temui sesuatu. Sesuatu yang mengocak naluri. Sesuatu yang terasa asing namun tidak pula janggal. Nalurinya benar-benar tersentuh.


Posted at 10:37 pm by hatikasih
Make a comment  

FRAGMEN 4

Razlan bingkas duduk, segera dicapai buku log berkulit hijau. Sepanjang tempoh empat bulan yang lepas terdapat enam permintaan untuk memindahkan beberapa maklumat umum berkenaan dengan aktiviti penyelidikan dan pembangunan, termasuk sejumlah besar gambar-gambar digital. Maklumat tersebut adalah untuk dimuatkan ke dalam laman web rasmi syarikat. Menurut catatan, maklumat yang dimuatkan telah disemak dan diluluskan oleh Razlan sendiri. Tidak ada sebarang maklumat sensitif yang dipindahkan.

Tapi… betulkah maklumat yang dipindahkan itu hanya setakat apa yang nampak dek mata kasar? Jantung Razlan berdegup kencang. Sepuluh minit kemudian, Ford Ranger kuning laju memecut di Lebuh Ayer Keroh.

Pagi tersebut suasana di Jabatan Pemasaran agak kelam-kabut. Masing-masing kelihatan sibuk dengan tugasan dan tidak ada yang mempedulikan kemunculan Razlan. Razlan tergopoh-gapah menghidupkan komputernya. Buku nota hijau dihempas ke meja. Laman web rasmi Zanura diakses, lembar demi lembar yang dipenuhi foto di sekitar Zanura ditatap.

Tidak pula ada gambar yang menunjukkan keadaan di dalam makmal secara terperinci. Hanya wajah insan-insan yang dahulunya di bawah pengawasan Razlan tersengih gembira di samping komputer masing-masing. Dan hanya maklumat produk yang telah berpaten dimuatkan.

Hampir keseluruhan paparan lainnya meliputi aktiviti di bahagian pengeluaran. Wajah-wajah operator pengeluaran yang tersenyum riang di pintu masuk, ketekunan mereka di sel kerja, dan suasana ceria di kafeteria terpamer buat tontonan umum.

Razlan merenggangkan wajahnya dari kaca komputer. Dicarinya kelibat Faridah. Wanita itu sedang berdiri di hadapan bilik mesyuarat. Beberapa keping kertas terkepil di antara jari-jemarinya yang runcing.

“Idah!” Faridah berpaling, wajah Razlan ditatap sejenak sebelum dia melangkah ke meja lelaki itu.

“Kenapa?” Alisnya yang dibentuk rapi sedikit diangkat.

“Cuba tengok website kita ni, ada apa-apa yang pelik tak?” Razlan berganjak sedikit dari komputer, memberi ruang buat Faridah.

Wanita itu merenung skrin komputer.

“Tak ada apa yang pelik pun. Nampak okay saja.”

“Muka ni?” Razlan klik pada rangkaian operasi syarikat.


Posted at 10:37 pm by hatikasih
Make a comment